Wednesday, January 20, 2010

MUZIK ITU SUARA SYAITAN

Hiburan yang paling hebat adalah apabila memasuki syurga. Muzik itu tempatnya di syurga, syaitan yang membawanya ke dunia ini dan mengajar cucu Qabil tentang muzik.

Untuk mendengar muzik di syurga, elakkanlah dari mendengar muzik di dunia. Sepertimana orang yang minum arak di dunia ini tidak dapat minum arak di syurga (jika tidak bertaubat sebelum mati).

Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di Akhirat kelak (di Syurga).” (Sahih Muslim).

Syarat untuk masuk ke syurga ialah menjauhkan dari perkara yang lagha (melalaikan) seperti majlis yang ada muzik di dalamnya:-

Mukminun [3] Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

Luqman [6] Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan;

Syaitan dan Muzik

Syaitan sentiasa mengambil peluang atas nafsu buruk yang tercetus. Syaitan juga berada di dalam majlis yang di dalamnya ada aurat yang dibuka dan muzik dimainkan. Syaitan berasal dari syurga, ia mendengar muzik di syurga lalu mengajarnya kepada cucu Qabil (anak nabi Adam). Allah berkata kepada syaitan supaya menggunakan suaranya untuk menggoda manusia:-

Isra [64] Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu….

Jika muzik itu halal, mengapa nabi diutus untuk menghancurkan alat muzik:

Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk memusnahkan alat muzik. Ahmad bin Mani‘ Al-Harits Ibnu Abu Usamah meriwayatkan dengan lafaz: Maksudnya:


“Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan saya (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekalian alam dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan mazamir, ma‘azif (alat bunyi-bunyian)…………(hingga akhir hadith)

Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :Maksudnya:


“Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan saya menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan alat ma‘azif (alat bunyi-bunyian) dan alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (bunyi-bunyian bertali)……… (Hadis riwayat Abu Daud dan At-Thayalisy)

Disebut dalam hadith “Akan ada di kalangan umatku sejumlah kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamr, alat muzik …..” (Hadis sahih al-Bukhari)

“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas umatku, khamr, judi. minuman keras dari perahan gandum dan kuubah (gendang) dan qinnin (drum). Dan menambahkan untukku solat witir.” (Shahih al-Jami’)

Ada yang mengatakan zaman Nabi pun ada paluan gendang.

Muzik dan paluan adalah dua benda berbeza. Paluan adalah sekadar memukul untuk membuat bunyi bising. Muzik adalah bunyi yang berirama, mempunyai melodi. Di zaman Nabi, paluan gendang hanyalah untuk membuat bunyi bising tanpa sebarang irama. Paluan itu pula hanyalah bertujuan membuat pengumuman perkahwinan.

Nabi s.a.w juga pernah tertidur dalam perjalanan untuk pergi mendengar muzik.

Allah SWT tidurkan Nabi s.a.w dalam perjalanan untuk menghalangnya dari mendengar muzik. Rasulullah S.A.W pernah bercadang untuk mendengar nyanyian dalam satu perayaan yang diadakan dan baginda S.A.W telah meminta kawannya untuk menjaga kambing-kambing peliharaan baginda S.A.W untuk tujuan tersebut tetapi Allah tetap menjaga baginda S.A.W daripada perkara haram yang mana sebelum perayaan itu bermula, Rasulullah S.A.W telah tertidur sehinggalah selesainya majlis.

Umat Muhammad yang hidup mengikut nafsu, terlibat dalam muzik dan arak secara gila-gila, Allah akan tukar mereka (masakh) menjadi babi dan kera.


Dari Abi Malik Al-AsSyaari, beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Satu golongan daripada umatku akan minum arak, mereka menamakan arak bukan dengan namanya. Alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita dimainkan di atas kepala-kepala mereka lantas Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah menjadikan daripada kalangan mereka bertukar menjadi kera dan babi (Riwayat Ibnu Majah)

Pendapat mazhab tentang muzik


Kesemua 4 mazhab mengatakan muzik adalah tidak baik dan haram. Imam Syafie mengharamkan 6 jenis alat muzik. Pada zaman beliau terdapat 6 jenis alat muzik itu (termasuk dalam kategori bertali, ditiup, digesek, dipalu), zaman kita ni mungkin sudah beratus alat muzik. Ke empat-empat mazhab sepakat muzik haram hukumnya. Cuma ilmuan dan cendekiawan islam sekarang yang mengharuskannya. Pendapat yang mengharuskan muzik ini adalah bertentangan dengan pendapat mazhab. Mengikut kitab Resmul Mufti ,sesuatu fatwa yang dikeluarkan adalah tidak terpakai sekiranya ia bertentangan dengan pendapat mazhab, terutamanya bila semua mazhab sebulat suara mengeluarkan pendapat yang sama.

Bilakah dibenarkan guna muzik?

Sepertimana riba, walaupun diharuskan ketika terdesak, riba tetap tidak halal. Diharuskan riba pada masa tertentu sahaja dan faedahnya hendaklah digunakan untuk kepentingan umat Islam. (sama seperti makan babi semasa kebuluran). Begitu juga dengan muzik, hukumnya tetap haram, cuma diharuskan untuk kepentingan negara dan berdakwah di negeri atau negara orang kafir. Inipun muzik yang minima sahaja. Hanya untuk kepentingan negara, umpamanya lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan untuk berdakwah di negeri atau negara bukan Islam sahaja.

Hanya Nyanyian Yang Liriknya Baik dan Tanpa Diiringi Muzik Dibenarkan


Dalam hadith ada disebut “nyanyian itu jampi ke arah zina“. Terutamanya nyanyian oleh penyanyi perempuan kerana suara mereka mampu menarik lelaki kepada mereka dan merangsang nafsu lelaki. Nyanyian yang dibenarkan dalam Islam adalah nyanyian tanpa muzik dan liriknya memuji Allah, Nabi, syurga dan apa sahaja yang baik sepertimana dalam percakapan.


Dalam isu nyanyian dan muzik ini, empat mazhab yang besar iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali telah mengharamkan nyanyian yang diiring muzik (tarian, gendang dan bunyi-bunyian). Sekalipun pujian dan syair itu memuji Allah (subhanahu wata’ala), jika disertai dengan muzik, ia dikira haram. Janganlah terlalu selesa bila mendengar muzik, beristigfarlah untuk menghapuskan dosa dalam mendengar muzik itu.

No comments:

Post a Comment