Monday, January 25, 2010

ILMU TASAUF DAN TARIKAT

Majoriti ulama tidak mewajibkan belajar ilmu tarikat. Mereka berpendapat ilmu tasauf adalah fadhu kifayah. Ilmu yang wajib dipelajari hanyalah ilmu tauhid, fekah. Apapun ilmu tasauf atau tarikat mempunyai kelebihannya seperti ia boleh menghidupkan hati agar mencintai Allah. Cinta itu sebenarnya suci cuma manusia yang mengotorkannya dengan nafsu buruk mereka. Kerana cinta kepada Allah jugalah terhasilnya para ulama dan wali Allah seperti diceritakan dalam kisah Rabiatul Adawiyyah dan Syed Muhyiddin yang sangat cintakan Allah.

Perasaan cinta adalah dari Allah, manakala benci pula dari syaitan. Dalam satu hadith disebut “sesiapa yang meninggal dunia kerana rindu, dia dikira mati syahid” (misalnya seseorang yang merindui keluarganya lalu pulang ke kampungnya dan meninggal dalam perjalanan.
Ilmu tarikat juga boleh melemahkan nafsu buruk dan mendekatkan diri kita kepada Allah. Seorang murid bertanya kepada guru tarikatnya “Bagaimana hendak mendekatkan diri kepada Allah .Kata guru tarikat itu yang juga seorang wali qutub ” Allah itu cuma 2 langkah dari kamu. Langkah pertama, pijak nafsu (letak nafsu dibawah tapak kaki), langkah kedua ialah Allah.

Dekat atau jauhnya Allah itu juga bergantung kepada keadaan kita. Nafsu buruk yang menjauhkan kita dari Allah:-
Baqarah [186] Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)

Qaf [16] Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

Waqiah [85] Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,

Berjayalah orang yang membersihkan diri dari nafsu buruk:

As-Syams [9] Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

Rugilah orang yang mengikut nafsu buruknya:

As-Syams [10] Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Galakan belajar ilmu tarikat


Maidah [35] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya

Carilah jalan iaitu “wasilah”, perantaraan untuk sampai kepada Allah. Dalam hadith lebih kurang maksudnya “Orang dapat kejayaan dengan wasilah, orang dapat kejayaan akhirat juga dengan wasilah”. Wasilah yang dimaksudkan ialah “ilmu” dan “didikan (tarbiyah)”, samada secara zahir (syariat) atau batin (tarikat). Tarikat juga asalnya dari Nabi s.a.w. yang diajar kepada para sahabat, untuk segera dapat kedudukan dan kejayaan disisi Allah.

Dalam ilmu tarikat ada 3 jenis fana’ (tenggelam dalam kasih sayang) iaitu Fana’ pada guru, Fana’pada Nabi s.a.w, Fana’ pada Allah. Pada permulaan pengajian ilmu tarikat, seorang murid akan fana dengan gurunya. Kemudian gurunya akan menukar hatinya agar ia fana kepada Nabi. Paling akhir ialah fana’ fillah. Bila sesorang itu mencapai tahap fana’ fillah ia akan merasakan dirinya terlalu kecil berbanding Allah, sehingga ia merasa lebih kecil dari semut.

Selain itu Ahli tariqat juga memikirkan sesuatu kejadian untuk mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Az-Zariyat [21] Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

Ar-Ruum [8] Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

No comments:

Post a Comment